LEBIH 200 PENDUDUK TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG

BINTULU: Lebih 200 pen­duduk Rumah Lebong Luang di Sungai Seterus Tatau, di sini tinggal sehelai seping­gang setelah rumah panjang yang dihuni mereka sejak 13 tahun lalu musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 4.30 pagi se­malam.

Tinjaun Utusan Borneo ke lokasi kejadian rumah pan­jang terbabit yang dihuni 39 keluarga itu mendapati rumah berkenaan musnah sepenuh­nya tanpa ada satupun yang tertinggal.

Tuai Rumah Lebong Luang, 37, ketika ditemui berkata semasa kejadian semua penghuni rumah pan­jangnya itu sedang lena tidur di bilik masing-masing.

“Saya terbangun apabila terdengar bunyi bising dari bilik sebelah dan segera menjenguk ke ruai (beranda rumah panjang) bagi memas­tikan perkara yang berlaku dan alangkah terkejutnya saya apabila melihat api sedang marak di bilik nombor 13,” katanya menceritakan detik yang mencemaskan itu.

Sejurus mengetahui yang api sedang marak, Lebong terus berteriak meminta tolong serta mengejutkan penghuni rumah panjang yang lain agar lari menyela­matkan diri.

Beliau kemudiannya meng­hubungi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu bagi mengawal serta memadam kebakaran daripada merebak ke rumah-rumah lain yang berdekatan.

“Bagaimanapun, saya melahirkan sedikit kekesa­lan terhadap masalah bekalan air paip terputus di kawasan Semadang menyebabkan penduduk di rumah panjang mengalami masalah gang­guan air sejak dua hari lalu,” katanya.
Beliau percaya sekiranya bekalan air tidak mengalami gangguan pada masa itu sudah tentu api dapat dikawal atau dipadamkan.

Mujurlah, katanya kebaka­ran yang berlaku ini tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.
Seorang penduduk, Raw­ing Enggang, 45, adalah orang pertama yang melihat api marak di salah sebuah bilik isteri bekas tuai rumah panjang terbabit dan men­jerit meminta tolong serta lari menyelamatkan diri.

“Saya berasa amat sedih dengan kejadian ini kerana bukan sahaja kami kehilangan tempat berteduh malah semua dokumen penting, barang antik serta barang keperluan lain yang dikumpul selama ini semuanya musnah terbakar,” tambah beliau.

Residen Bahagian Bin­tulu Muhammad Yakup Kari yang turut menjenguk lokasi kejadian, berkata bantuan sewajarnya akan disalurkan kepada semua penduduk terjejas merang­kumi khemah sementara, barang makanan dan mi­numan serta barang keper­luan asas yang lainnya bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.

Setakat ini, katanya Pejabat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bintulu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak dan Sim Swee Joo telah menyalurkan sumbangan bagi membantu mangsa terlibat.

“Saya menyeru lebih ban­yak agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NG0), badan-badan korporat serta syarikat perniagaan di sini tampil menyalurkan sumbangan bagi meringkankan beban mangsa,” katanya.
Semua mangsa menetap se­mentara sama ada di khemah-khemah khas yang disediakan atau rumah saudara-mara yang berdekatan.



!! SHARING IS GOOD !!

No comments:

Post a Comment